Kerjasama Geely Dapat Kembalikan Kegemilangan Proton

PUTRAJAYA – Pelan perniagaan strategik yang dibangunkan DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dan Zhejiang Geely Holdings Group Co Ltd (Geely) dari China akan mengembalikan kegemilangan Proton, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Berikutan kerjasama strategik itu, beliau berkata, Proton akan muncul sebagai peserta automotif yang disegani di pasaran Malaysia, ASEAN serta global.

“Majlis pemeteraian antara DRB-HICOM dan Geely Holdings merupakan satu peristiwa penting untuk Proton dan negara ini. Jenama kita sendiri dan sangat disayangi kini mempunyai peluang sebenar untuk kembali gemilang. “Sebagai kereta nasional, kerajaan akan melihat dan menyokong masa depan Proton ,” katanya sebelum majlis pemeteraian perjanjian pembelian 49.9 peratus ekuiti dalam Proton Holdings Bhd oleh Geely Holding di sini, hari ini.

Kerjasama strategik itu adalah sebahagian daripada syarat ditetapkan kerajaan untuk Proton menerima pembayaran balik RM1.1 bilion daripada perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan sebanyak RM3.5 bilion oleh syarikat tersebut.

Johari berkata, tidak ada salahnya untuk Proton mengadakan pakatan dan kerjasama. “Dalam dunia automotif, ia sangat biasa. Malah TATA telah bekerjasama dengan Land Rover dan Jaguar, BMW bekerjasama dengan Mini dan Rolls-Royce manakala Renault, Nissan dan Mitsubishi pula berada dalam satu pakatan yang besar,” katanya.

Johari berkata, Proton berada dalam kedudukan yang sangat mencabar sejak beberapa tahun lepas berikutan kemerosotan jualan serta kekangan aliran tunai.

“Oleh itu, dengan rakan kongsi strategik, Proton akan mampu meningkatkan nilai jenama serta keyakinan pengguna, akses kepada teknologi terkini, mencapai skala ekonomi yang lebih tinggi serta keupayaan untuk menembusi pasaran lebih besar di luar Malaysia,” katanya.

Dengan perjanjian induk hari ini, yang kedua-dua pihak telah bersetuju dengan termanya, Johari berkata, kerajaan akan membantu untuk memastikan Proton kekal sebagai kereta nasional.

Menurutnya, Geely, sebagai peserta automotif terbaik di China dan antara yang terbaik di dunia, akan membantu Proton menjadi jenama nombor satu di Malaysia, ASEAN dan juga China.

“Kita mahu memastikan keseluruhan rantaian nilai vendor dan pembekal akan diberi keutamaan untuk turut serta dalam pembangunan ini. Dengan pengalaman Geely membangunkan vendor dan pembekal, ia akan memanfaatkan kita dari segi volum…. bukan sahaja membekalkan kereta atau komponen untuk pasaran Malaysia, tetapi juga pasaran di mana Geely berada,” katanya.

Mengenai pembuangan pekerja, Johari berkata, DRB-HICOM dan Geely telah memberi jaminan yang mereka akan mengekalkan semua pekerja dan akan menguruskan Proton secara bersama.

“Saya tidak nampak keperluan untuk melaksanakan sebarang pembuangan pekerja kerana kerjasama strategik ini membawa volum yang tepat dalam pengeluaran kereta itu,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Geely Group, Daniel Donghui Li berkata, Malaysia dan Asia Tenggara adalah lokasi penting bagi pertumbuhan masa depan syarikat berkenaan.

Menurutnya, syarikat tersebut merancang untuk menjual tiga juta kereta setahun menjelang 2020 dan rantau ini disasarkan akan menjual 500,000 kereta.

“Dengan Proton dan Lotus menyertai portfolio jenama Geely, kami akan mengukuhkan jejak global kami dengan mencatat kejayaan awal di Asia Tenggara,” katanya.

Tahun lalu, Geely menjual 1.3 juta kenderaan di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, kerjasama strategik dengan Geely akan mengurangkan komiten modal DRB-Hicom untuk Proton, selain komitmen untuk penyelidikan dan pembangunan. Menurutnya, perjanjian itu juga mengecualikan aset tanah di luar Tanjung Malim, Perak, termasuk di Shah Alam yang akan dipindahkan kepada DRB-Hicom pada masa depan pada harga berpatutan selepas memindahkan semua operasi pengeluarannya ke Tanjung Malim.

Syed Faisal berkata, tanah itu boleh dibangunkan DRB-Hicom dan dengan itu memberi lebih banyak pendapatan kepada syarikat tersebut.

Bagaimanapun, katanya, proses pemindahan itu dijangka dilakukan dalam tempoh lima tahun. Mengenai jualan Lotus, beliau berkata, pembuat kereta Britain itu dijual pada harga 100 juta pound sterling kepada Geely, yang akan memegang 51 peratus ekuiti manakala 49 peratus lagi oleh Etika Automotive Sdn Bhd. Etika Automotive dimiliki pemegang saham yang sama dalam Etika Strategi Sdn Bhd, syarikat yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam DRB-Hicom, katanya.

HSBC adalah penasihat kewangan Geely dalam transaksi tersebut manakala Quantephi Sdn Bhd penasihat kewangan untuk DRB-Hicom.

Geely dan DRB-Hicom dijangka menandatangani perjanjian muktamad pada Julai 2017. – Bernama